Rabu, 09 Juni 2010

SISTEM PENDIDIKAN DI AFRIKA

Nama : Eko Siswanto
Nim : 231 405 003

SISTEM PENDIDIKAN DI AFRIKA
Pendidikan di Afrika Selatan telah terjejas teruk akibat sistem apartheid yang mendiskriminasikan penduduk dari segi pendidikan. Sewaktu itu, penduduk kulit putih menerima pendidikan yang terbaik tetapi penduduk bukan kulit putih menerima pendidikan yang paling minimal. Di bawah kerajaan kulit hitam yang baru, pengasingan ini telah dimansuhkan dan semua orang tidak kira bangsa dan warna kulit berhak mendapat pendidikan yang sama.
Pendidikan tradisional
Sebelum kedatangan orang kulit putih, pendidikan masyarakat Afrika menekankan aspek-aspek tradisi seperti kisah-kisah perwira dan pengkhianat serta kisah masyarakat atau "folktales". Dalam masyarakat Khoisan dan Bantu terutamanya, nilai-nilai budaya dan kemahiran hidup merupakan pendidikan penting yang diajari daripada satu generasi ke generasi yang lain.
Dalam masyarakat Nguni pula, pendidikan adalah berbeza mengikut jantina. Kaum lelakinya diajar kemahiran hidup oleh para cendikiawan berlatarbelakangkan militari, keugamaan dan dari pemimpin politik. Manakala kaum wanita, mendapat pendidikan tentang kemahiran berumahtangga dan pertanian.
Pendidikan tradisi semakin pupus selepas abad ke-19 dan 20, apabila polisi kerajaan kulit putih memaksa penduduk dewasa kulit hitam keluar dari perkampungan mereka dan bekerja di lombong dan kawasan industri

Ketibaan Sistem Pendidikan British
Sekolah Eropah terawal di Afrika Selatan telah ditubuhkan di koloni Cape pada akhir abad ke-17 oleh para pegawai Gereja Reformasi Belanda. Sekolah-sekolah tersebut memainkan peranan yang terhad iaitu untuk pengesahan ahli gereja. Di kawasan pendalaman, guru-guru bergerak yang dkenali sebagai meesters, mengajar asas kefahaman serta kemahiran matematik. Sekolah-sekolah mubaligh Inggeris mula berkembang pesat selepas 1799, bila ahli-ahli Persatuan Mubaligh London tiba di koloni ini.
Bahasa telah menjadi isu sensitif dalam pendidikan di negara ini. Sekurang-kurangnya dua dozen sekolah Inggeris beroperasi di kawasan pendalaman koloni Cape, tetapi kehadiran sekolah tersebut ditentang oleh bangsa Afrikaner, yang menganggap bahasa Inggeris serta kurikulumnya tidak relevan untuk masyarakat mereka. Justeru itu, ramai orang Afrikaner memilih untuk megajar anak mereka di rumah atau di gereja masing-masing. Namun demikian, orang kulit hitam di Afrika Selatan terutamanya puak Xhosa dan Nguni telah menerima pendidikan Inggeris. Pada 1877, hampir 60% kanak-kanak di Natal telah mendaftar di sekolah kebangsaan dan sekolah mubaligh Inggeris. Berlainan pula dengan wilayah-wilayah Afrikaner, pendaftaran pelajar amat rendah iaitu 12% di Orange Free State dan hanya 8% di Transvaal. Namun demikian pada akhir abad itu, pendaftaran pelajar mula bertambah selepas kerajaan memperkenalkan bahasa Afrikaan di sekolah-sekolah dan memberi lebih kuasa kepada Afrikaner untuk mengawal pendidikan rendah serta menengah. Pada akhir abad ke-19, tiga jenis sekolah telah mendapat bantuan kerajaan - iaitu sekolah sekolah pendalaman yang biasanya mempunyai seorang guru, sekolah-sekolah daerah dan beberapa sekolah menengah di bandar-bandar besar. Selepas itu juga, keempat-empat wilayah Afrikaner telah memansuhkan pendaftaran pelajar kulit hitam ke sekolah kerajaan dan mereka boleh belajar di sekolah mubaligh sahaja, dimana guru-gurunya terdiri dari pegawai-pegawai agama.
Pendidikan tinggi pula adalah terhad kepada orang kulit putih tetapi pada 1829 kerajaan menubuhkan institusi pendidikan pelbagai bangsa yang dikenali sebagai "South African College", kemudian menjadi "University of Cape Town". Pada 1852 pegawai-pegawai British di Transvaal dan Orange Free State telah mengiktiraf hak orang Afrikaner untuk menubuhkan institusi pendidikan tinggi mereka sendiri dan Gabenor British yang baru--Sir George Grey--telah memperuntukkan dana untuk membantu institusi tersebut. Pada 1855 kerajaan menubuhkan "Grey College"--kemudian dikenali sebagai "University of the Orange Free State"--di Bloemfontein dan diletak dibawah kuasa Gereja Reformasi Belanda. Setahun selepas itu, "Grey Institute" telah dibuka di Port Elizabeth; Graaff-Reinet College pula ditubuhkan pada 1860. Christian College telah dibuka di Potchefstroom pada 1869 dan kemudian digabungkan dengan "University of South Africa" dan ditukar nama menjadi "Potchefstroom
Berkembangnya Pendidikan Afrikaner
Selepas berakhirnya Perang Afrika Selatan pada 1902, kerajaan British berusaha untuk memartabatkan bahasa Inggeris semula dalam sektor pendidikan di negara ini. Guru-guru Inggeris dari empayarnya seperti Australia dan New Zealand telah dibawa masuk untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Ramai orang Afrikaner terutamanya dari pihak gereja berasa tergugat dan ingin menangkis pengaruh British di Afrika Selatan. Lalu mereka mencadangkan program pendidikan baru iaitu Pendidikan Nasional Kristian, sebagai kurikulum teras untuk sekolah-sekolah. Pada mulanya kerajaan enggan menyokong institusi yang menggunakan program tersebut. Namun demikian Jan C. Smut, pemimpin Transvaal yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Afrika Selatan telah berusaha untuk menyatukan British dengan Afrikaner dan membenarkan program ini dijalankan di sekolah-sekolah.
Bahasa Afrikaans menjadi semakin penting selepas 1948 apabila Parti Kebangsaan (NP) berkuasa. Parti ini yang pro-Afrikaner telah membuat dasar pendidikan baru yang menghendaki semua graduan institusi tinggi menguasai kedua-dua bahasa iaitu Afrikaans dan Inggeris. Mereka juga menjadikan program Pendidikan Nasional Kristian sebagai falsafah pendidikan negara.
Pendidikan di bawah Apartheid
Akta Pendidikan Bantu (No. 47) 1953 telah meluaskan jurang pendidikan antara orang kulit putih dan bukan kulit putih. Dua arkitek pendidikan Bantu, Dr. W.M. Eiselen dan Dr. Hendrik F. Verwoerd, yang pernah belajar di Jerman telah menggunapakai banyak elemen falsafah parti National Socialist (Nazi) yang menekankan konsep ketulinan bangsa atau "racial purity". Konsep ini telah dijadikan rasional untuk membiarkan pendidikan penduduk kulit hitam berada ditahap yang paling rendah. Verwoerd, menteri penduduk pribumi pada waktu itu, berkata orang kulit hitam "perlu mendapat pendidikan yang setaraf dengan peluang hidup mereka," dan tiada tempat untuk mereka "selain menjadi pekerja buruh". Kerajaan juga mengawal ketat sekolah-sekolah mubaligh dan memberhentikan bantuan kewangan. Akhirnya banyak gereja-gereja terpaksa menutup sekolah tersebut atau menjualnya kepada kerajaan.
"Christian National Education" menyokong program aparteid parti NP terutamnya penggunaan bahasa Afrikaans pada tahun-tahun pertama sekolah rendah dan mendiskriminasikan pendidikan berdasarkan perbezaan etnik. Sekolah-sekolah kaum kulit hitam bertambah pada 1960 tetapi kurikulumnya adalah untuk menyediakan mereka bekerja sebagai buruh kasar atau kuli. Pada 1970, per-kapita perbelanjaan kerajaan untuk pendidikan kulit hitam adalah satu persepuluh berbanding perbelanjaan pendidikan orang kulit putih. Sewaktu era aparteid, sekolah-sekolah untuk kulit hitam amat daif dari segi kemudahan, pengajar dan buku-buku teks. Sepuluh kementerian pendidikan berasingan telah ditubuhkan untuk mentadbir pendidikan dikesemua bantustan di negera ini. Walaupun perbelanjaan kerajaan untuk pendidikan kaum kulit hitam bertambah dengan banyaknya pada akhir 1980-an, pada akhir era aparteid pada 1994 perbelanjaan per kapita untuk pendidikan orang kulit putih masih tinggi iaitu empat kali ganda perbelanjaan untuk kaum kulit hitam; manakala perbelanjaan pendidikan untuk pelajar-pelajar Asia dan berwarna adalah hampir sama dengan kaum kulit putih.

0 komentar:

Posting Komentar